Perkara atau Cara Yang Membuatkan Kita Berhenti Marah Pada Anak Kita

Assalamualaikum wbt.

Mula-mula sekali saya ingin nyatakan artikel ini saya perolehi daripada website bidadari.my

Ini adalah link penuhnya.  http://www.bidadari.my/8-perkara-yang-membuatkan-saya-berhenti-menjerit-dan-menengking-anak-anak-saya/

Tujuan saya sharekan artikel ini kerana saya mendapati info yang diberi adalah sangat berguna dan bermanfaat untuk kita sebagai ibu bapa praktikkan agar anak-anak kita sama- sama menjadi anak yang soleh dan solehah.

Jom kita ikuti apakah langkah-langkah atau cara yang boleh kita amalkan untuk  memastikan kita tidak akan sesekali lakukan sebagai ibu bapa terutamanya dari segi kawalan emosi, marah atau menengking kepada anak- anak.

 

################################################

 

anak-adalah-anugerah

 

Anda menempuhi hari-hari seperti biasa di pejabat.Keletihan. Tertekan dengan kerenah bos mahupun rakan sekerja yang pelbagai. Ditambah dengan bebanan kerja yang menimbun hari demi hari.

Terasa alangkah indahnya kalau boleh dibelah badan ini supaya semua kerja dapat disiapkan serentak. Stress! Anda berharap dapat segera pulang kerumah.

Dapat melepaskan lelah dihadapan televisyen sambil menonton drama kesukaan anda. Terbayang pula baki pavlova semalam. Tak sabarnya nak makan! “Oh Tuhan, cepat la pukul 5 menjelang tiba”, anda berdoa di dalam hati.

Sebaik sahaja sampai di rumah, anda mendapati pintu gril di rumah tak berkunci. Anda mula tidak berpuas hati. Masuk sahaja ke dalam rumah, keadaan bagaikan tongkang pecah. Barang permainan dimerata-rata hinggakan sakit kaki apabila terpijak lego yang bersepah. Hati dah mula menjadi panas.

Di dapur ketika hendak memasak untuk makan malam, tiba-tiba anda terjumpa serpihan pinggan kesayangan anda dilantai. Anda segera memeriksa tong sampah. Betul sangkaan anda. Pinggan tersebut pecah!

“Tak boleh jadi ni”, getus hati anda. Anda jerit sekuat hati memanggil anak-anak anda yang sedang leka bermain.
Saat itu, anda sudah bertukar menjadi raksasa yang sangat menggerunkan. Apa yang terjadi selepas itu, pasti serba tidak kena.

Anak-anak menjadi mangsa anda melepaskan bebanan stress yang dikumpul dari pejabat lagi. Keesokan harinya, anda menyesal dan berjanji pada diri sendiri untuk tidak akan menengking mereka lagi.Pernahkah anda mengalami situasi ini?

Saya pernah.

Sukar sebenarnya untuk mengawal perasaan marah dan penat. Kita hanyalah manusia biasa. Tetapi kita sering berharap dapat menjadi ibu yang lebih baik pada anak-anak kita.

Disini, saya mahu berkongsi 8 perkara yang membuatkan saya pelajari dalam cubaan memperbaiki diri menjadi ibu yang lebih baik.

Alhamdulillah sejak itu, saya tidak lagi menengking atau memarahi anak-anak saya mengikut perasaan saya. Anak-anak bukan dimarahi untuk kita melepaskan geram, tetapi mereka dimarahi dengan niat untuk mendidik.

 

#1 Anak adalah anugerah dan amanah Allah yang paling berharga

Pernahkah kita terfikir perasaan pasangan yang menangis siang malam berharap dikurniakan cahaya mata untuk menyerikan rumah tangga mereka?

Bagaimana pula perasaan pasangan yang anak mereka meninggal dunia kerana kecelakaan, kemalangan atau penyakit?

Tidak semua bernasib baik seperti kita. Jika kita menghadapi situasi seperti mereka, adakah kita akan melayan anak-anak sama seperti yang layanan yang kita berikan sekarang?

Tepuk dada, tanya diri. Bersyukurlah dengan nikmat yang kita perolehi sekarang. Kita tidak tahu selama mana Allah meminjamkan nikmat tersebut pada kita. Jagalah amanah tersebut sebaiknya. Bukan tempat kita melepaskan marah dan penat kita.

Baca: 

 

#2 Anak-anak memerhati setiap perbuatan kita

Di hadapan orang lain, saya selalu berusaha untuk mengawal kemarahan saya apabila anak-anak mula membuat perangai.

Kebenarannya, saya takut orang lain akan melabel saya sebagai ibu yang garang. Saya mahu dikenali sebagai ibu yang penyayang dan penyabar.

Saya terlalu memikirkan pandangan orang lain. Sedangkan saya terlupa pandangan anak-anak terhadap diri sayalah yang paling penting!

Sepatutnya kepada merekalah saya kena berusaha untuk menunjukkan bahawa saya adalah ibu yang penyayang, penyabar dan bukan kaki menjerit.

Saya mahu anak-anak saya memberitahu semua, “ibu saya adalah ibu yang terbaik sekali di dunia!”.

 

#3 Anak kita bukanlah hanya sekadar kanak-kanak – mereka juga adalah manusia biasa

Sama seperti saya, anak-anak saya juga mempunyai hari-hari yang adakalanya baik, dan adakalanya kurang baik. Ada waktunya mereka sangat menyenangkan hati dan mendengar kata. Ada juga waktunya mereka sukar dikawal dan mempunyai mood yang tidak baik.

Sama seperti kanak-kanak lain, anak-anak saya juga kadang-kala suka membuat perangai. Mereka memberontak tidak mahu makan, menconteng dinding dan gemar menyepahkan makanan di lantai terutamanya apabila saya baru sahaja mengemop dan mengemas.

Menguji kesabaran, bukan?

Tetapi saya perlu ingat, mereka hanyalah kanak-kanak. Mereka masih belajar, masih membesar dan masih banyak lagi yang mereka perlu teroka untuk mematangkan diri mereka. Saya perlu sentiasa memberi mereka peluang.

Lagipun, saya pasti tidak suka ditengking atas kesalahan yang tak saya sengajakan. Sama juga seperti mereka! Cuba letakkan diri anda ditempat mereka.

 

#4 Saya tidak selalunya boleh mengawal perangai anak-anak saya, tetapi saya sebenarnya boleh mengawal respon saya terhadap sesuatu situasi

Lumrah kanak-kanak, kita tidak boleh memaksa mereka menuruti perintah kita jika mereka tidak mahu. Apabila mereka menyepahkan rumah, saya mempunyai pilihan dalam memberi respon.

Sama ada saya menjerit “kemas mainan ni sekarang!!”. Ataupun saya berlalu pergi seketika, tenangkan fikiran, tarik nafas dalam-dalam, dan kembali bercakap dengan mereka dengan nada yang tenang serta lembut.

Walau apa pun respon anda, ia akan mempengaruhi hubungan anda dengan anak-anak, mood anda dan juga mood mereka untuk sepanjang hari tersebut.

P.S: Respon yang kedua sebenarnya boleh mempercepatkan permainan tersebut dikemas berbanding respon yang pertama.

 

#5 Menengking bukan boleh menyelesaikan masalah

Adakalanya, kita sering beranggapan, menengking adalah jalan pintas untuk memaksa anak-anak melakukan apa yang kita mahu.

Sebenarnya, menjerit dan menengking adalah lebih mudah untuk KITA, berbanding mengambil masa sejenak, tarik nafas dalam-dalam dan cuba untuk memikirkan alternatif lain untuk menyelesaikan masalah itu.

Disulami dengan ego, dan nafsu untuk memuaskan hati, menjerit tampak lebih mudah. Hakikatnya, saya mendapati menjerit tidaklah menyelesaikan apa-apa masalah.

Ia membuatkan keadaan menjadi lebih rumit, menjejaskan mood anak-anak dan membuatkan mereka lebih mahu memberontak. Semestinya, mood kita juga akan terjejas.

 

#6 Satu perkataan yang anda mesti selalu pegang. SEKURANG-KURANGNYA.

“Sekurang-kurangnya” kini menjadi antara perkataan pilihan saya untuk menenangkan diri sendiri dengan membantu saya melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza. Perspektif yang lebih positif.

Sebenarnya dengan mengingatkan diri dengan cara ini, secara tidak lansung saya telah mendidik diri untuk bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah berikan pada saya.

Baca:  Petua Untuk Mengecilkan Pori-Pori Terbuka/ Besar Pada Wajah

“Laaaaa. Macam mana along boleh tumpah air ni? Habis basah karpet.” Ingatkan pada diri; takpelah. SEKURANG-KURANGNYA, along cuba untuk menolong dan tiada serpihan kaca yang terkena padanya sampai tercedera”.

“Kenapa la anak saya lambat bercakap berbanding anak orang lain?”. Ingatkan pada diri; SEKURANG-KURANGNYA, dia sihat dan aktif. Walaupun dia lambat bercakap, tetapi dia seorang anak yang mendengar kata dan mudah dijaga.

Walau apa pun situasi, cuba cari sudut pandangan yang lebih positif dan berbeza. Abaikan kata-kata orang lain yang hobinya suka mengkritik dan menjatuhkan orang sahaja.

 

anak-berpandukan-bimbingan-rasulullah

#7 Selalunya, saya yang bermasalah. Bukan anak-anak saya.

Kebiasaannya sebaik sahaja saya lepas menengking anak-anak, saya sering termenung sendiri dan berfikir apa puncanya. Lama-lama saya tersedar, yang bermasalah adalah saya, bukan mereka.

Kebiasaannya saya lebih terdorong untuk mengamuk lebih-lebih lagi apabila saya baru lepas bergaduh dengan suami, terlalu penat, datang bulan, atau stress dipejabat – bukannya sebab anak saya berperangai teruk.

Lain kali kali sekiranya tiba-tiba anda terasa untuk mengamuk, ingatkan pada diri sendiri “awak penat dan awak perlukan rehat. Jangan lepaskan pada anak”. “awak PMS, dan perlukan coklat yang banyak atau udara yang segar. Bukan sebab awak marah pada mereka”.

 

#8 Sayangi diri sendiri. Anda pasti akan berhenti menengking

Sebagai seorang ibu, kita terlalu sibuk menjaga orang lain, sehingga terlupa untuk menjaga diri sendiri. Merasakan diri terlalu gemuk, tidak cantik, terlalu penat, terasa jauh dari kawan-kawan, tertekan dengan bebanan kerja dan tanggungjawab di rumah, merupakan antara penyebab kita terdorong untuk mengamuk dan menengking.

Kadang-kala untuk seketika, fikirkan pula tentang diri anda sendiri. Luangkan masa mengaji dan pergi ke surau pada malam Jumaat.

Hantar anak ke rumah pengasuh dan luangkan masa berdating dengan suami ke restoran yang agak mewah atau sekadar keluar menonton wayang.

Pergi ke gym atau spa untuk memanjakan diri. Tidur awal dan amalkan membaca al-Quran sebelum tidur. Sekali sekala hubungi rakan-rakan untuk bertanya khabar.

Bincang dengan suami agar beliau lebih banyak membantu di dapur atau laburkan sedikit wang pada alatan kelengkapan rumah yang menjimatkan masa seperti mesin membasuh pinggan mangkuk (dishwasher) atau mesin pengering pakaian. Cara ini membolehkan anda menumpukan lebih perhatian pada anak-anak, menjimatkan masa dan tenaga.

Saya mempunyai seorang rakan yang sejak awal perkahwinan, dia dan suami sudah bersetuju untuk tidak memasak. Mereka pasti akan makan diluar. Pasti ramai akan skeptikal dengan cara ini kerana dia tampak pemalas.

Hakikatnya, dia sebenarnya menjimatkan masa dan tenaganya kerana dia tidak perlu berpenat lelah memasak dan banyak mengemas. Hasilnya, stress berkurang dan dia juga boleh menumpukan lebih masa untuk perhatian dan pendidikan anak-anak sekalipun dia mempunyai masa yang terhad kerana menjawat jawatan yang agak tinggi di tempat kerja.

Walau apa pun caranya, cuba untuk menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi orang lain. Beritahu pada diri, “tiada manusia yang sempurna”. Anda pasti akan rasa lebih tenang, gembira dan lebih penyayang.

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*